Dollar Yen berada dalam dagangan bercampur-campur Rabu semalam, turun naik dari paras terendah harian sekitar ¥109.85 ke paras tertinggi harian sekitar ¥110.45, sebelum menutup sekitar paras ¥110.15; setelah Yen mendapat sokongan terkesan daripada ucapan Gabenor Kuroda di parlimen Jepun semalam yang mengatakan tentang kemungkinan menamatkan dasar kewangan mudah Bank of Japan.
Komen Gabenor Kuroda memeranjatkan para trader, kerana ianya buat pertama kali beliau mengatakan tentang perkara tersebut sejak melancarkan QE pada hujung tahun 2012. Kenyataan yang positif tersebut menyebabkan pasaran ekuiti teruja dengan indeks Nikkei Jepun memacu naik lebih 245 mata, untuk ke paras tertinggi harian sekitar 16,982 mata sebelum menutup sekitar paras 16,917 mata. Semalam merupakan antara hari dagangan yang lengang dengan ketiadaan banyak laporan ekonomi dari kedua-dua negara.
Hanya Jabatan Maklumat Tenaga (EIA) Amerika Syarikat yang melaporkan inventori minyak komersil yang berkurang sebanyak 4.2 juta tong berbanding pertambahan 1.3 juta tong sebelum ini. Pasaran hanya menjangkakan pengurangan sekitar 1.7 juta tong sahaja. Lebihan minyak yang nampaknya semakin berkurangan, memberikan harapan kepada kestabilan harga minyak.
Hari ini Amerika Syarikat bakal melaporkan tuntutan bantuan pengangguran yang dijangka berkurang daripada 278 ribu kepada 275 ribu tuntutan. Tempahan barangan tahan lama dijangka menurun daripada 0.8% kepada 0.3%, namun tempahan teras dijangka meningkat daripada -0.2% kepada +0.3%. Tiada sebarang laporan berimpak tinggi dari Jepun hari ini.