Dollar Yen yang jatuh lebih 65 pips sepanjang sesi Asia dan pagi Eropah Selasa semalam, untuk ke paras terendah harian sekitar ¥117.65, kembali memacu naik lebih 95 pips sepanjang sesi New York untuk ke paras tertinggi harian sekitar ¥118.60, sebelum menutup sekitar paras ¥118.40; setelah pasaran kembali tenang, apabila harga minyak mentah pulih semula semalam dan emas mendapat permintaan yang baik.
Sebelum daripada itu, matawang AS dijual selepas Iraq mengumumkan pengeluaran minyak pada rekod tertinggi bagi bulan Disember, yang menimbulkan kebimbangan mengenai lebihan bekalan dalam pasaran minyak global, kata para trader. “Mood ‘risk-off’ berterusan dalam pasaran kewangan,” menurut Shinichiro Kadota, ahli strategi forex di Barclays Bank, sambil menambah kedua-dua kejatuhan di pasaran ekuiti Amerika Syarikat dan Jepun juga menambah kebimbangan para pelabur.
[adrotate group=”6″]
Sebelum daripada itu, Gabenor Bank of Japan Haruhiko Kuroda berkata bahawa beliau akan meneliti pelbagai faktor termasuk kesan pergolakan pasaran global ke atas jangkaan inflasi Jepun, dalam memutuskan sama ada ransangan kewangan tambahan diperlukan. “Trend harga asas Jepun tidak merosot. Tetapi beberapa petunjuk mengatakan jangkaan inflasi telah agak lemah,” kata Kuroda kepada pemberita pada Forum Ekonomi Dunia di Davos.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk menyesuaikan dasar, termasuk melonggarkan dasar, jika perlu untuk mencapai sasaran inflasi 2%,” kata beliau lagi. Kuroda, bagaimanapun, tidak mengulas sama ada BoJ akan melonggarkan dasar pada mesyuarat Jumaat ini.