Pembelian aset oleh bank pusat Eropah (European Central Bank, ECB) terikat dengan pemulihan ekonomi Zon Eropah, tetapi kadar faedah rendah dan jumlah penyata imbangan yang besar akan terus menyokong ekonomi beberapa tahun akan datang, kata pembuat polisi ECB, Ardo Hansson.
“Dengan pengakhiran kepada program pembelian aset sejajar dengan pemulihan aktiviti ekonomi, segalanya adalah baik,” kata Hansson.
“Selepas program ini selesai, pelaburan semula kepada bon yang dibeli akan berterusan dalam beberapa tempoh apabila pembelian bon yang lebih awal telah matang.”
Tambah beliau lagi, dengan pembelian aset ini telah berjalan selama lebih dari dua tahun, sokongan utama kepada ekonomi bukanlah berpunca daripada pembelian bon bulanan tetapi penyata imbangan sedia ada yang tinggi.
Bank pusat Eropah (ECB) telah membeli lebih daripada 2 trillion euro aset yang kebanyakannya adalah hutang kerajaan sejak dua setengah tahun lalu. Hal ini adalah usaha bagi memotong kadar pinjaman bagi melonjakkan pelaburan, pertumbuhan dan seterusnya meningkatkan inflasi.
Mesyuarat bank pusat Eropah selepas ini akan berlangsung pada 7 September dan pembuat polisi telah mengatakan untuk menentukan masa hadapan rangsangan pada musim luruh nanti.