Jualan runcit di UK naik 0.6% pada Jun berbanding jangkaan kenaikan hanya 0.4% dan kemerosotan 1.2% yang dicatat sebelum ini pada Mei.
Dari segi tahun ke tahun, pertumbuhan mengukuh sehingga 2.9% daripada 0.9% sebelum ini dan juga melebihi jangkaan pasaran 2.5%.
Manakala jualan runcit teras (Core retail-sales) hanya naik 0.9% dengan jangkaan hanya kenaikan 0.5%, di mana secara tahunan data ini bertumbuh sebanyak 3.0% dari 0.6% yang dicatat sebelum ini.
Dari segi suku tahunan pula, jualan runcit naik 1.5% dari 1.4% pada suku pertama.
Jualan makanan jatuh 0.5% pada Jun manakala pengukuhan direkod dalam jualan barangan bukan-makanan sebanyak 1.8%.
Kejatuhan pendapatan benar pada suku kedua 2017 cenderung untuk menekan perbelanjaan pengguna khususnya dengan nisbah simpanan berada di paras terendah.
Walaubagaimanapun, peningkatan dalam pasaran pekerjaan menyokong perbelanjaan dengan pasaran pekerjaan sebelum ini merekod bacaan yang memberangsangkan pada Jun.
Jualan runcit adalah proksi kepada perbelanjaan pengguna dan trend dalam pergerakan data ini akan memberi impak signifikan kepada jangkaan polisi Bank of England. Dalam konteks semasa, bank pusat mungkin cenderung untuk mengurangkan rangsangan disokong oleh komen Carney pada Khamis bahawa trend inflasi kekal sama walaupun dengan kejatuhan inflasi kepada 2.6%.