Harga minyak mentah naik mendadak dalam dagangan Selasa berikutan laporan yang mengatakan Libya akan menyertai mesyuarat OPEC dan non-OPEC di Rusia bulan ini.
Minyak WTI (West Texas Intermediate) naik ke paras $46.87 setong setakat pukul 9.49 pm, naik dari paras terendah $46.03. Manakala minyak Brent, naik ke paras $49.56 setong dari paras terendah $48.40 setakat ini dan telah merekod kenaikan 1.49%.
Komoditi hitam jatuh dalam sesi dagangan Isnin yang pertama dalam enam sesi dagangan sebelum ini berikutan kebimbangan terhadap peningkatan bekalan global.
Libya National Oil Corporation (NOC) berkata pada hari ini bahawa mereka akan mengetuai delegasi ke mesyuarat pengeluar minyak mentah global di Rusia pada 22 Julai bagi membincangkan perancangan pengeluaran dalam kalangan pengeluar.
Bulan Mei yang lalu OPEC dan beberapa ahli non-OPEC telah bersetuju melanjutkan pemotongan 1.8 juta bekalan sehingga sembilan bulan berbanding sebelum ini yang hanya berkuatkuasa enam bulan sehingga Jun. Ini adalah usaha anggota mengimbangi semula pasaran dan membawa harga ke paras optimum.
Setakat ini, tumpuan pasaran akan berfokus kepada data inventori Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pagi nanti dan data EIA yang akan dikeluarkan pada 10.30 pm Rabu.
Pasaran minyak mentah global sejak beberapa bulan lalu banyak ditekan oleh peningkatan pengeluaran oleh US. Walaupun pemotongan telah dibuat oleh OPEC dan non-OPEC tetapi ia diimbangi semula oleh pengeluaran US dan selagi faktor ini berterusan, kita dijangka tidak akan melihat peningkatan harga minyak, kecuali pemotongan bekalan ditambah melebihi 1.8 juta tong sehari.