Jabatan Buruh US melaporkan pengurangan jumlah tuntutan faedah/insurans pengagguran (Jobless claims) kepada 222,000 bagi minggu berakhir pada 13 Oktober berbanding minggu sebelum itu yang mencatatkan jumlah 244,000.
Data yang dikeluarkan ini lebih rendah daripada jangkaan penganalisis sebanyak 240,000 jumlah tuntutan pengangguran.
Jobless claims bermaksud jumlah penduduk yang pertama kali membuat permohonan insurans pengangguran. Ia juga dipanggil sebagai Unemployment claims.
Tuntutan atau permohonan faedah pengangguran kali ini adalah yang terendah sejak Mac 1973.
Jumlah penduduk yang masih menerima faedah pengangguran ini berkurangan sebanyak 16,000 kepada 1.89 juta pada minggu berakhir 07 Oktober.
Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang pertumbuhan ekonominya banyak disumbangkan oleh perbelanjaan domestik. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran buruhnya mestilah dalam keadaan optimum. Untuk melihat keadaan optimum dalam pasaran buruh, kadar pengangguran haruslah berada di bawah dan tidak melebihi 5%.
Data pekerjaan bagi negara seperti US adalah sangat penting bagi menentukan ekonomi US sedang berada dalam keadaan baik ataupun sebaliknya.
Sepertimana pasaran memberi perhatian kepada data NFP (non-farm payroll) setiap bulan, data ini juga menggambarkan keadaan pasaran buruh semasa di US.