Reserve Bank of Australia (RBA) mengekalkan polisi monetari tengah hari tadi berikutan pegawai-pegawai bank pusat memilih untuk mengekalkan kadar faedah di paras terendah bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan inflasi.
Bank pusat Australia itu mengekalkan kadarnya di paras 1.50% sejak kali terakhir diturunkan pada Ogos 2016. Keputusan kali ini adalah sejajar dengan jangkaan pasaran.
Pembuat polisi bank pusat menyatakan kadar inflasi jatuh baru-baru ini disebabkan oleh harga minyak mentah yang rendah. Harga pengguna (CPI) telah bergerak lebih tinggi sepanjang tahun lalu. RBA juga menyatakan pergerakan inflasi yang perlahan pada suku pertama adalah sementara.
Bank pusat ini akan mengadakan mesyuarat seterusnya pada 1 Ogos.
Terdapat perbezaan pendapat tentang RBA yang dikatakan sepatutnya mula mengetatkan polisi monetari mereka. Analisis terbaru dari Bank of International Settlements (BIS), mengatakan ekonomi Australia adalah antara yang memberangsangkan seterusnya memerlukan mereka menaikkan kadar faedah bagi menghalang kenaikan hutang isirumah dan nilai harga hartanah.
Menurut bekas ahli lembaga RBA John Edwards, walaupun dengan kenaikan satu mata asas kadar faedah akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi. Dalam masa yang sama, Edwards menjangka ada lapan kenaikan kadar faedah sepanjang 2018 hingga 2019.
Inflasi jangka panjang RBA adalah 5.2% yang jauh di atas paras semasa iaitu 2.5%.
Komen RBA bahawa ekonomi disokong oleh kadar faedah rendah dan kenaikan dolar Aussie akan merumitkan perubahan dalam ekonomi menunjukkan komitmen bank pusat yang masih mahu mengekalkan sokongan polisi monetari.
Hal ini telah menyebabkan Aud/Usd menjunam 80 pip setakat pukul 2.30 petang tadi selepas pengumuman polisi 12.30 tengah hari pada Selasa.