Harga minyak mentah melonjak pada Selasa dan kini berada di sekitar paras tertinggi empat tahun yang lalu berikutan pasaran melihat bekalan minyak mentah yang semakin ketat selepas Amerika Syarikat mengenakan pusingan baru sekatan kepada Iran.
Setakat ini, minyak Brent (Brent-oil) didagangkan pada paras $85 setong naik dari paras terendah semalam $82.76 setong. Manakala penanda aras Amerika Syarikat minyak WTI (West Texas Intermediate) pula naik dari $72.95 setong kepada $75.51 setakat ini.
Sentimen positif pasaran komoditi hitam juga disumbang oleh perjanjian trilateral AS-Mexico-Kanada pada minit-minit terakhir semalam. Dengan termeterainya perjanjian tersebut, perdagangan berjumlah $1.2 trillion setahun itu dapat diselamatkan.
Selain daripada isu Iran, apa yang menambah kenaikan kepada minyak mentah adalah hakikat bahawa permintaan Mexico terhadap minyak mentah AS juga dijangka meningkat selepas kata sepakat tiga negara semalam.
Pasaran minyak mentah sebenarnya banyak disokong oleh sekatan AS terhadap minyak mentah Iran di mana negara itu sebelum ini mencapai bekalan tertinggi pada tahun ini dengan hampir 3 peratus daripada penawaran keseluruhan 100 juta tong sehari.
Sekatan terhadap Iran akan bermula pada 4 November di mana penganalisis berkata berkemungkinan bekalan tidak mencukupi dalam jangka pendek.
Penganalisis di firma pengurusan dana, Tortoise, Brian Kessens berkata, “Harga minyak mentah mampu mencapai paras harga $100 setong dengan kebimbangan terhadap kapasiti pengeluaran kini semakin meningkat.”