Tan Sri Mustapha Kamal merancang untuk membangunkan rumah mampu milik yang berharga RM70,000 seunit bagi golongan berpendapatan B40 melalui syarikat beliau, Emkay Group.
Rancangan rumah mampu milik ini berkemungkinan adalah usaha terakhir beliau sebelum beliau bersara daripada industri hartanah yang mana akan dibina di pusat bandar Kuala Lumpur.
Jika idea tersebut menjadi kenyataan, Emkay Group akan menjadi syarikat hartanah swasta pertama yang membina rumah berharga di bawah RM100,000 di Kuala Lumpur sejak bertahun lamanya.
Pengasas dan Pengarah Eksekutif kumpulan itu, Mustapha berkata rumah tersebut khas untuk kumpulan B40, khususnya mereka yang berpendapatan RM1,800 hingga RM2,000.
“Bank Negara Malaysia menunjukkan harga median perumahan adalah pada RM282,000 manakala harga median pasaran pula RM330,000.
“Anda perlu punya pendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 untuk membeli rumah sebegitu. Rumah-rumah (mampu milik) ini adalah untuk kumpulan seperti guru, polis, bomba dan tentera yang bekerja keras dan berkorban untuk negara kita.
“Kami memberi cadangan kepada kerajaan untuk membina rumah mampu milik,” demikian kata Mustapha kepada wartawan minggu lalu.
“Jika idea ini menjadi kenyataan, kos untuk membina infrastruktur adalah lebih rendah kerana ketersediaan infrastruktur seperti jalan raya dan bekalan elektrik yang menjimatkan kos,” tambah beliau.
Mustapha mencadangkan pembangun hartanah untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan bagi idea rumah mampu milik.
“Saya di fasa terakhir dalam permainan ini dipanggil masa tambahan, untuk terus menyokong agenda negara untuk menyediakan perumahan mampu milik, khususnya kepada kumpulan B40. Ini adalah cara saya memberi semula kepada negara, rakyat dan negara saya Malaysia,” katanya.
Anak syarikat di bawah Emkay iaitu MK Land Holdings Bhd dan Setia Haruman Sdn Bhd yang dijalankan oleh anak beliau, merancang projek hartanah bernilai sehingga RM7 billion dalam tempoh lima tahun akan datang.