Akibat perintah kawalan pergerakan yang berlangsung di seluruh dunia demi memerangi wabak Covid19, pengeluar dan peruncit tekstil, pakaian dan kasut turut menerima tempias apabila permintaan global dilihat merosot.
Esquel Group Malaysia Sdn Bhd (EGM), pengilang tekstil dan pakaian yang berpusat di Hong Kong telah mengumumkan akan menghentikan operasinya di Malaysia kerana permintaan yang rendah dari Amerika Syarikat (A.S) dan negara-negara lain.
Syarikat tersebut bernilai lebih dari $5 trilion (RM21.84 trilion) merupakan pengeluar kepada jenama mewah seperti Hugo Boss dan Ralph Lauren. Penutupan syarikat yang telah bertapak 50 tahun di negara ini menyebabkan 2,000 tenaga kerja tenunan baju terbesar dunia kehilangan kerja.
Pengeluar lain seperti kilang kasut turut bimbang akan menerima nasib yang sama. Terkini, pengilang kasut menyaksikan penurunan jualan sebanyak 80% sekaligus menyebabkan intensif perniagaan mereka turut terjejas.
Presiden Persatuan Pengilang Kasut Malaysia (MFMA) Rachel Foo berkata, 400 ahlinya yang terdiri daripada peruncit dan pengilang bakal mengalami masa depan yang suram.
Menurutnya, jika pihak pengeluar kasut yang mengeksport ke pasaran luar negara tidak dapat memenuhi keperluan eksport pada tarikh yang ditetapkan, mereka perlu membayar denda. Perkara ini membebankan pengilang kasut untuk membayar gaji pekerja kerana denda yang dikenakan.
Selain itu pengusaha fesyen serta pengasas peruncitan dan pengeluar kasut, Christy Ng mengakui bahawa walaupun mereka mereka mempunyai perniagaan atas talian, mereka masih tidak dapat menampung kerugian perniagaan dan gaji kakitangan.
Minggu lepas Reuters melaporkan Pou Chen Corp iaitu pengeluar kasut sukan dan kasual dunia seperti Nike dan Adidas telah diperintahkan untuk menghentikan operasi salah satu syarikatnya, Pouyuen Vietnam demi memastikan kesihatan orang awam termasuk perlindungan operasi syarikat.