Terbaru dilaporkan beberapa syarikat kereta jenama bertaraf dunia telah mengemukakan saman terhadap pentadbiran Donald Trump gara-gara tarif yang dikenakan ke atas barangan yang diimport dari China.
Saman yang dikeluarkan oleh Tesla, Volvo, Ford dan Mercedes-Benz di New York pada minggu ini menfokuskan isu tarif 25% yang diperkenalkan oleh wakil perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Entah kali ke berapa presiden ini menerima saman daripada syarikat terkemuka, bermula dengan saman oleh Universiti Harvard, rangkaian media sosial seperti Facebook dan TikTok sehinggalah disaman oleh beberapa daerah negara itu sendiri.
Tesla mengemukakan saman tersebut, menyifatkan tindakan kerajaan AS sebagai ‘tidak tetap, penyalahgunaan budi bicara’.
Sebelum ini, wakil perdagangan AS, Robert Lightnizer yang tampil sebagai defendan telah menolak permohonan Tesla untuk dikecualikan tarif bagi komputer dan skrin paparan yang diimport dari China bagi pemasangan kereta elektrik Model 3.
Sejak Trump mengambil alih kerajaan pada 2017, AS dan China telah mula ‘terikat’ dengan perbalahan perdagangan.
Walaupun perjanjian Fasa 1 telah ditandatangani pada awal tahun ini, tambahan tarif sebanyak 25% masih kekal ke atas barangan China bernilai $250 bilion.
Jabatan perdagangan AS telah melaporkan defisit perdagangan negara pada Julai telah meningkat hampir 11% kepada $63.6 bilion dan China mencatatkan peningkatan defisit sehingga $28.3 bilion.
Saham Tesla menyaksikan penyusutan 12.56 atau 3.30% dan ditutup rendah pada nilai $367.80.