Dolar Amerika menuju minggu terbaik bulan ini ketika lonjakan kes coronavirus dan kebuntuan dalam rundingan rangsangan fiskal AS telah mendorong pelabur untuk mendapatkan aset safe-haven.
Sekatan baru yang diperkenalkan di Eropah dan Britain telah mendorong raja matawang itu melonjak ke paras ketinggian 2 minggu pada 93.910 berbanding sekumpulan matawang utama sebelum susut sedikit pada sesi Asia.
Penutupan yang lebih ketat di London mulai tengah malam dan perintah berkurung di Paris telah meningkatkan lagi kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi yang mungkin akan terhenti.
Dalam pada itu, jumlah tuntutan pengangguran AS malangnya masih memperlihatkan pertambahan lebih tinggi daripada sebelum ini, di mana sebanyak 898,000 tuntutan telah dibuat pada minggu lalu, melebihi jangkaan 810,000.
Matawang euro terus didagangkan rendah setelah mencatatkan kerugian sekitar 1% pada minggu ini disebabkan pengukuhan dolar greenback dan kebimbangan terhadap risiko Covid-19 yang semakin meningkat.
Matawang pound sterling kembali menyusut setelah dilemahkan oleh kesediaan Kesatuan Eropah (EU) untuk no-deal Brexit dan enggan berkompromi dalam rundingannya bersama UK. Tarikh akhir yang ditetapkan Perdana Menteri UK Boris Johnson malangnya berlalu begitu sahaja tanpa ada kesepakatan dapat dicapai.
Sementara itu, dolar Kanada jatuh ke paras terendah satu minggu berbanding dolar greenback pada sesi sebelum ini ditekan oleh kebimbangan pelabur terhadap prospek ekonomi global yang dilemahkan oleh peningkatan kes Covid-19.
Di sisi lain, dagangan dolar Aussie terus terkesan dengan kenyataan dovish Gabenor Reserve Bank of Australia (RBA), Philip Lowe dengan diniagakan di paras terendah 2 minggu berbanding USD.