Minit mesyuarat Reserve Bank of Australia (RBA) yang diterbitkan pada sesi Asia hari ini menunjukkan bahawa para pembuat dasar mempertimbangkan untuk menangguhkan rancangan pengurangan pembelian bon pada pertemuan polisi awal bulan ini.
Ini membuktikan bahawa mereka sebenarnya bimbang dengan penyebaran varian coronavirus delta akan memperlambatkan pemulihan ekonomi susulan langkah sekatan yang masih berlanjutan.
Bagaimanapun, RBA akhirnya memutuskan untuk meneruskan rancangan tersebut dan mengekalkan pembelian bon sebanyak $4 bilion sehingga sekurang-kurangnya bulan Februari sebelum mempertimbangkan pengurangan selanjutnya.
Menurut laporan minit mesyuarat yang dikeluarkan, para pembuat dasar mengharapkan ekonomi akan bangkit semula seiring dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat dan langkah sekatan berkurang.
Namun begitu, terdapat banyak ketidakpastian tentang waktu dan tempoh pemulihan, yang mana ia kemungkinan lebih lambat daripada yang dilihat pada awal tahun 2021.
Walau secepat mana pun pemulihan, RBA masih melihat bahawa kadar faedah akan kekal di tahap terendah 0.10% sehingga tahun 2024 memandangkan pertumbuhan upah dan inflasi masih perlahan.
Dolar Aussie tidak terkejut dengan laporan minit mesyuarat tersebut memandangkan pelabur sudah sedia maklum dengan pandangan dovish RBA sejak ucapan Gabenor Philip Lowe minggu lepas.
Matawang sensitif risiko itu diniagakan sedikit meningkat di sekitar harga 0.7260 berbanding US dolar, bangkit semula dari paras terendah tiga minggu yang dicapainya pada Isnin.