Bank Pusat Australia (RBA) sekali lagi menolak untuk mempertahankan hasil bon kerajaan dari meningkat melebihi sasarannya, menyebabkan dolar Aussie didagangkan lebih kukuh pada hari ini.
Memasuki hari kedua, hasil bon utama April 2024 meningkat setinggi 0.76% berbanding sasaran bank pusat sebanyak 0.1%.
Setakat ini, RBA masih tidak membuat tawaran untuk membeli bon utama April 2024 pada masa biasa untuk operasi sedemikian.
Susulan tindakan RBA yang hanya berdiam diri, ini menyebabkan timbulnya spekulasi bahawa penggubal dasar bank pusat bersedia untuk meninggalkan program pembelian bonnya dalam menghadapi tekanan inflasi yang meningkat.
Data terbaru pada Rabu, menunjukkan ukuran purata inflasi teras yang menjadi indikator kepada RBA meningkat lebih tinggi dari jangkaan pada suku ketiga, sekali gus mengangkat harapan pasaran untuk bank pusat melaksanakan pengetatan lebih awal.
Mesyuarat dasar monetari RBA yang dijadualkan pada Selasa depan akan menjadi tumpuan pelabur, walaupun sebelum ini Gabenor Philip Lowe mengatakan pembelian bon akan kekal sehingga Februari 2022.
Sementara itu, data jualan runcit dan indeks harga pengeluar (PPI) Australia yang diterbitkan pada sesi Asia hari ini juga menunjukkan bacaan yang lebih kuat.
Dolar Aussie mengukuh pada paras ketinggian tiga bulan dengan didagangkan pada sekitar harga 0.7550 berbanding USD yang lemah.