Kejutan Buat RBA, Inflasi Australia Melonjak Tinggi!

392

Dolar Aussie meningkat tinggi pada sesi Asia hari ini selepas diperlihatkan dengan bacaan data inflasi Australia yang lebih kukuh pada suku ketiga.

Menurut data yang dikeluarkan Biro Perangkaan Australia, indeks harga pengguna (CPI) utama meningkat 0.8% pada suku ketiga dan 3.0% secara tahunan, sama seperti yang dijangkakan oleh pasaran.

Bagaimanapun, ukuran purata inflasi teras yang menjadi indikator kepada Bank Pusat Australia (RBA) meningkat 0.7% pada suku tersebut, lebih baik daripada unjuran untuk kenaikan 0.5%.

Kadar tahunan pula meningkat kepada 2.1%, jauh melebihi 1.8% yang dijangkakan dan meletakkannya semula dalam julat sasaran 2-3% RBA untuk kali pertama dalam tempoh enam tahun.

Peningkatan ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh kenaikan harga petrol lebih tinggi (7.1%) dan kos pembelian kediaman baharu (3.3%).

Terdahulu, bank pusat telah meramalkan inflasi teras tidak akan mencapai 2% sehingga pertengahan 2023, dan susulan itu kadar faedah akan kekal pada tahap terendah 0.1% sehingga 2024.

Angka terbaru yang lebih kukuh ini meningkatkan kembali optimisme pasaran untuk RBA melaksanakan pengetatan lebih awal yang mungkin akan bermula menjelang Julai tahun depan.

Bacaan data ini bukan sahaja mendorong kenaikan dolar Aussie, tetapi juga memacu hasil bon 3 tahun Australia untuk meningkat ke paras tertinggi sejak Januari 2020 susulan penerbitan data ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat