Masihkah anda ingat tentang kewujudan matawang digital bank pusat pertama, Sand Dollar yang pernah dilaporkan Team Intraday pada Oktober lalu?
Terbaru, matawang yang dikeluarkan oleh bank pusat The Bahamas itu dikatakan sedang dalam proses pengaturan kad prabayar baru melibatkan Mastercard.
Menurut perincian yang didedahkan oleh Mastercard semalam, selain bank pusat, pihak penyedia perkhidmatan pembayaran mudah alih, Island Pay juga turut berkolaborasi bersama.
Melalui kad prabayar yang dilancarkan oleh Mastercard itu kelak, pengguna boleh menukarkan Sand Dollar kepada tunai semasa pembelian.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, The Bahamas merupakan negara pertama yang melancarkan matawang digital bank pusat. Negara itu telah menguji Sand Dollar pada 2019 sebelum melancarkan sepenuhnya matawang digital bank pusat itu pada Oktober 2020.
Pada awalnya, penerimaan matawang digital itu agak terhad menerusi aplikasi digital. Bagaimanapun, dengan usaha daripada pihak Mastercard, Island Pay dan bank pusat The Bahamas, kad prabayar itu boleh digunakan di mana-mana peruncitan yang menerima Mastercard.
Timbalan presiden eksekutif Mastercard, Raj Dhamodharan menyifatkan kerjasama antara sektor awam dan swasta itu sebagai satu usaha merealisasikan apa yang mustahil bagi sebuah pentadbiran, lagi-lagi berkaitan dengan sistem pembayaran baru.