Dalam satu perkembangan terbaru, Ripple dilaporkan telah menandatangani persetujuan bersama firma pemindahan wang Malaysia dan penyedia perkhidmatan kewangan mudah alih terbesar Bangladesh bagi menghubungkan pengiriman wang antara dua negara.
Pengumuman yang dibuat pada minggu lepas, menekankan Mobile Money Malaysia dan bKash Bangladesh akan memanfaatkan rangkaian pembayaran global Ripple, RippleNet bagi transaksi wallet-to-wallet.
CEO bKash, Kamal Quadir menyifatkan kerjasama ini dapat menyumbang lebih jauh ekonomi negara dengan mendorong aliran pengiriman wang masuk melalui saluran yang sah berdasarkan undang-undang.
Manakala Mutual Trust Bank (MTB) akan bertindak sebagai rakan perbankan domestik dalam melakukan penyelesaian pembayaran.
Berbeza dengan bKash yang mempunyai pangkalan pengguna melebihi 45 juta, MobileMoney cuma mewakili sebahagian kecil pembayaran mudah alih Malaysia.
bKash secara tidak langsung ketika ini menguasai sebahagian besar aliran pengiriman wang negara, yang ketiga terbesar di Asia Selatan.
Berdasarkan rekod oleh Mutual Bank, pengiriman wang Bangladesh pada tahun lepas telah mencapai kadar tertinggi sepanjang masa iaitu $18.2 bilion, merangkumi pengiriman dari Malaysia, negara-negara Timur Tengah dan Amerika Syarikat (AS).
Nampak gaya, usahasama itu tidak terusik dengan isu Ripple disaman Securities and Exchanges Commissions (SEC) di AS kerana didapati melanggar peraturan sekuriti persekutuan dengan penjualan matawang kripto, XRP.