US dolar merosot lebih rendah pada pembukaan sesi Eropah, sekali gus memberi peluang buat matawang utama meningkat lebih tinggi menjelang penerbitan data pekerjaan NFP AS malam ini.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama, susut ke paras terendah satu minggu pada 90.80.
Euro melonjak lebih tinggi susulan penyusutan yang dicatatkan dolar greenback, dengan pergerakan harga yang dipamerkan menuju ke paras 1.21000.
Peningkatan hasil bon 10 tahun Jerman turut menyokong momentum pengukuhan harga buat matawang euro.
Sementara itu, matawang pound turut meneruskan kenaikan lebih tinggi susulan pengumuman Bank Pusat England (BOE) untuk mengurangkan pembelian bon mingguannya dan meningkatkan unjuran pertumbuhan ekonomi
Ekonomi UK diramal akan berkembang lebih kuat pada tahun ini susulan kemajuan dalam program vaksinasi Covid-19, yang mana separuh daripada penduduk negara itu telah divaksin.
Ketika penulisan, pound sterling diniagakan kukuh di sekitar harga 1.392000 berbanding US dolar yang lemah.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand kekal didagangkan tinggi, disokong oleh peningkatan harga komoditi.
Sementara dolar Kanada terus menguat di sekitar paras ketinggian 3 setengah tahun, dengan tumpuan pasaran turut disasarkan kepada penerbitan data pekerjaan Kanada malam ini.