‘Siapa sangka sebuah negara pulau kecil boleh jadi pencetus perang dunia antara 2 kuasa besar dunia.’
Firma pembuat cip terbesar dunia, Taiwan Semiconductor Manufacturing Co. (TSMC) kini menjadi tumpuan dunia rentetan daripada lawatan ahli Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taipei.
Difahamkan ketegangan yang berlaku antara AS dan China berkait rapat dengan kepentingan firma dari pulau tersebut dalam rantaian bekalan cip global.
Umumnya, semikonduktor merupakan input penting dalam penghasilan telefon pintar kepada kereta serta peti sejuk yang menjadi rebutan AS dan China dalam persaingan teknologi sejak kebelakangan ini.
Dan isu kekurangan semikonduktor yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan AS mencari ‘sumber’ baru di rantau Asia dalam memastikan mereka kekal mendahului China.
Ia secara tidak langsung menjelaskan sebab utama lawatan Pelosi di Taiwan, sungguhpun mendapat tentangan dan amaran keras oleh China, yang disudahi dengan perjumpaan bersama Pengerusi TSMC iaitu Mark Liu.
Perkara ini juga menandakan kepentingan semikonduktor kepada keselamatan AS dan peranan yang dimainkan oleh TSMC dalam membuat cip lebih canggih.
Ulas Reema Bhattacharya, seorang penyelidik Asia di Verisk Maplecroft, situasi diplomatik Taiwan yang tidak berkesudahan akan kekal menjadi sumber ketidaktentuan geopolitik AS-China.
Tambahnya, lawatan Pelosi juga membawa maksud AS tidak mampu melakukannya sendiri dan memerlukan kerjasama dengan syarikat Asia yang mendominasi cip canggih.
Menyingkap sedikit sejarah TSMC, ia merupakan firma pengeluar cip berportfolio tinggi dengan Apple dan Nvidia merupakan antara pelanggannya.
Dengan AS masih ketinggalan dalam pembuatan cip, firma seperti TSMC dan Samsung Electronics Korea Selatan muncul menjadi pengeluar utama dunia walaupun bergantung kepada peralatan dari negara Uncle Sam tersebut.
Melihat kepada data, TSMC menyumbang 54% daripada pasaran faundri* global dan Taiwan pula membawa 2/3 daripada pasaran tersebut seterusnya mengesahkan kepentingan negara tersebut dalam industri semikonduktor dunia.
*Faundari merupakan model perniagaan kejuruteraan dan pembuatan mikroelektronik yang terdiri daripada loji fabrikasi semikonduktor atau faundri dan operasi reka bentuk litar bersepadu.