Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang dolar AS (USD) bergerak dalam julat sempit sejak minggu lalu, didorong oleh kelembapan dagangan hujung tahun, sementara pemain pasaran menilai minit mesyuarat Federal Reserve (Fed) sebagai petunjuk hala tuju dasar bank pusat menjelang 2026.
Pada jam 9.50 pagi, Indeks Dolar AS (DXY) kekal stabil pada paras 98.235 mata, tidak banyak berubah sejak pembukaan dagangan awal Rabu di sesi Asia.
Aktiviti pasaran kewangan dijangka terus perlahan apabila sebahagian besar pelabur masih bercuti sehingga sambutan Tahun Baharu.
Dalam masa sama, pelabur meneliti penerbitan minit mesyuarat dasar Fed bagi bulan Disember, yang dijangka memberi gambaran lebih jelas mengenai perbincangan susulan keputusan bank pusat menurunkan kadar faedah awal bulan ini.
Peserta pasaran menjangkakan minit mesyuarat tersebut mungkin mendedahkan perbezaan pandangan dalam kalangan pembuat dasar mengenai kadar faedah dan tahap pelonggaran seterusnya, terutamanya ketika tekanan inflasi terus mereda.
Jangkaan bahawa Federal Reserve akan melaksanakan pemotongan kadar faedah tambahan pada tahun 2026 kekal sebagai pemacu utama pasaran mata wang sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Peniaga telah mengambil kira kemungkinan beberapa pemotongan kadar pada tahun hadapan, satu perkembangan yang memberi tekanan kepada dolar dan dan menyokong mata wang Asia sedang pesat membangun.
Namun begitu, ketidaktentuan mengenai masa dan skala pelonggaran dasar monetari terus mendorong sikap berhati-hati dalam kalangan pelabur, sekali gus mengehadkan pergerakan pasaran yang lebih jelas.


























































