Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Bursa Malaysia dijangka terus mengukuh minggu ini apabila FBM KLCI berpotensi melepasi paras psikologi 1,700 mata, malah ada penganalisis melihat peluang indeks mencecah sehingga 1,730 mata.
Sentimen awal tahun yang biasanya positif dilihat kembali menyemarakkan pasaran, dengan pengurus dana mula meningkatkan pendedahan mereka dalam saham terpilih.
Sektor perkhidmatan dan perkilangan dijangka menjadi tumpuan utama, disokong prospek pertumbuhan yang lebih cerah serta jangkaan aliran masuk dana asing.
Namun, laluan ke atas bukan tanpa cabaran. Paras 1,720 mata dianggap rintangan utama dalam jangka pendek, manakala 1,680 mata menjadi benteng sokongan jika pasaran berundur.
Saham perbankan seperti Maybank, Public Bank dan CIMB kekal menjadi rebutan pelabur berikutan jangkaan OPR kekal stabil dan dividen menarik.
Pada masa sama, sektor pembinaan dan utiliti terus mendapat sokongan daripada projek infrastruktur serta pembangunan pusat data.
Sebaliknya, pelabur diingatkan supaya berhati-hati terhadap sektor teknologi berorientasikan eksport, minyak & gas, serta sarung tangan, yang masih terdedah kepada ketidaktentuan luaran dan kitaran permintaan global.


























































