Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga bullion didagangkan dalam tempo tinggi melebihi $4,750 apabila pemain pasaran kini menilai perkembangan rundingan diplomasi di antara Amerika Syarikat-Iran dan menantikan laporan inflasi utama AS yang akan diterbitkan pada jam 8.30 malam ini (Selasa).
Pada jam 9.15 pagi, harga emas didagangkan pada paras $4,745 iaitu positif 0.19% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada hujung minggu lalu menolak cadangan damai daripada Iran dengan menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima sama sekali”, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan geopolitik di Timur Tengah. Situasi itu mendorong harga minyak mentah terus meningkat apabila pelabur bimbang konflik berpanjangan boleh mengganggu bekalan tenaga global.
Trump turut menyatakan pada Isnin bahawa usaha gencatan senjata antara kedua-dua negara kini berada dalam keadaan rapuh dan hanya bergantung kepada “sokongan hayat”.
Dalam masa sama, pasaran kini memberi tumpuan kepada laporan Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat bagi bulan April yang akan diterbitkan lewat hari ini. CPI utama dijangka meningkat kepada 3.7% tahun ke tahun (YoY) berbanding 3.3% pada bulan sebelumnya, dipacu oleh kenaikan ketara harga minyak. Sementara itu, IHP teras pula diunjurkan naik kepada 2.7% YoY berbanding 2.6% sebelum ini.
Sekiranya data inflasi AS menunjukkan bacaan yang lebih tinggi daripada jangkaan, ia boleh menguatkan lagi pandangan bahawa Federal Reserve System mungkin mengekalkan kadar faedah tinggi untuk tempoh lebih lama. Jangkaan itu berpotensi menyokong pengukuhan Dolar AS dan memberi tekanan terhadap pasaran komoditi yang didagangkan dalam denominasi dolar.
Penganalisis pasaran di American Gold Exchange, Jim Wyckoff berkata pasaran ketika ini menyaksikan aktiviti pembelian pada harga rendah serta penyesuaian kedudukan pelabur menjelang penerbitan data inflasi AS minggu ini.



















































