Beberapa hari lalu, pasaran mendapat sedikit harapan apabila Amerika Syarikat dan Iran kembali membuka ruang perbincangan untuk menamatkan konflik.
Tetapi perkembangan terbaru menunjukkan jurang antara Washington dan Tehran masih sangat besar.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian tampil di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dengan mesej tegas bahawa Tehran tidak akan tunduk kepada tekanan Amerika. Pada masa sama, Iran menetapkan beberapa syarat sebelum rundingan substantif boleh diteruskan.
Perkembangan ini kembali menghidupkan kebimbangan bahawa usaha diplomasi yang sebelum ini memberi harapan kepada pasaran mungkin berdepan jalan buntu.
Iran Masih Buka Pintu Rundingan, Tetapi Ada Syarat
Pezeshkian tidak menutup terus ruang diplomasi.
Iran masih menyatakan kesediaan untuk berunding, tetapi Tehran mahu beberapa tuntutan dipenuhi terlebih dahulu.
Antaranya termasuk pengurangan tekanan ketenteraan Amerika, penamatan sekatan atau sekatan laut terhadap Iran serta isu aset Iran yang dibekukan. Iran juga mengaitkan pembukaan semula Selat Hormuz dengan perkembangan rundingan tersebut.
Ini bermakna rundingan belum gagal, tetapi ia juga masih jauh daripada satu perjanjian damai.
Hormuz Kembali Jadi Bom Jangka Pasaran
Perkara paling membimbangkan trader ialah Selat Hormuz.
Iran sebelum ini memberi isyarat bahawa laluan tersebut boleh dibuka dalam tempoh tujuh hari sekiranya Amerika mengurangkan tekanan ketenteraan dan sekatan terhadap Iran.
Tetapi dalam ucapan terbarunya, Pezeshkian mempertahankan kedudukan Iran terhadap kawalan dan keselamatan laluan tersebut.
Dalam masa sama, serangan terhadap kapal masih berlaku.
Sebuah kapal komersial dilaporkan terkena serangan di Selat Hormuz pada Rabu, menyebabkan seorang anak kapal maut dan lebih 20 orang lagi dipindahkan.
Jadi walaupun terdapat perbincangan damai, risiko terhadap laluan minyak dunia masih belum hilang.
Minyak Kembali Naik
Pasaran terus bertindak balas terhadap ketidaktentuan tersebut.
Brent berada di bawah US$103 setong selepas melonjak hampir 4% dalam sesi sebelumnya, manakala WTI berada sekitar US$92.
Ini menunjukkan trader masih meletakkan premium risiko terhadap bekalan tenaga.
Jika rundingan Amerika Iran kembali tersekat, risiko gangguan bekalan boleh meningkat semula.
Sebaliknya, jika kedua dua pihak berjaya mencapai persetujuan yang benar benar boleh dilaksanakan, tekanan terhadap harga minyak boleh berkurang.
Trump Dan Pezeshkian Kini Berdepan Jurang Besar
Perkembangan ini menjadi lebih menarik kerana beberapa jam sebelum itu, Trump masih memberi gambaran bahawa rundingan dengan Iran mempunyai momentum dan penyelesaian mungkin dicapai.
Namun, kenyataan Pezeshkian di PBB menunjukkan Tehran masih berpegang kepada tuntutan utamanya.
Malah, Trump sebelum ini mengeluarkan ancaman keras terhadap Iran jika tiada penyelesaian dicapai, manakala Pezeshkian membalas dengan pendirian bahawa Iran tidak akan tunduk kepada tekanan Amerika.
Jadi pasaran kini berdepan situasi yang sangat sensitif:
Rundingan masih hidup, tetapi ketegangan juga masih meningkat.
Arab Saudi Dan Houthi Tambah Risiko
Masalah tidak berhenti di Iran.
Konflik turut merebak melalui front Yaman apabila kumpulan Houthi meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi.
Pada masa sama, Arab Saudi sedang berusaha memulihkan eksport minyak melalui saluran East West Pipeline yang menjadi alternatif penting kepada penghantaran melalui Hormuz.
Jika gangguan di Hormuz berterusan dan laluan alternatif Saudi belum pulih sepenuhnya, tekanan terhadap bekalan minyak global boleh menjadi lebih besar.
Ini menjadikan Timur Tengah semakin sukar untuk diramal.
Kenapa Trader Perlu Ambil Perhatian Hari Ini?
Untuk Forex, perhatian utama ialah:
USD kerana ketegangan geopolitik boleh meningkatkan permintaan terhadap aset selamat.
JPY dan CHF kerana kedua dua mata wang ini sensitif kepada perubahan sentimen risiko.
Mata wang komoditi seperti AUD juga perlu diperhatikan jika harga minyak terus bergerak tinggi.
Untuk saham, risiko lebih jelas kepada sektor yang sensitif terhadap kos tenaga seperti penerbangan, pengangkutan, logistik dan industri.
Sebaliknya, saham tenaga boleh menerima sokongan jika harga minyak kekal tinggi.
Untuk emas, konflik yang semakin tegang boleh meningkatkan permintaan safe haven, tetapi kenaikan hasil bon dan jangkaan kadar Fed juga perlu diperhatikan.
Pasaran Kini Menunggu Satu Perkara
Bukan lagi sekadar sama ada Amerika dan Iran mahu berdamai.
Pasaran mahu tahu adakah kedua dua pihak sanggup memenuhi syarat masing masing?
Jika ya, minyak dan tekanan inflasi berpotensi reda.
Jika tidak, risiko konflik berpanjangan, gangguan Hormuz dan harga tenaga tinggi akan kembali menjadi tumpuan.
Buat masa ini, pintu rundingan masih terbuka tetapi belum cukup luas untuk dianggap sebagai jalan keluar.
Dan itulah perkara yang trader perlu awas hari ini.





















































