Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Donald Trump memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan di Forum Ekonomi Dunia di Davos bagi membincangkan Greenland, selepas berhubung dengan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte, sekali gus meningkatkan ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan sekutu Eropah.
Trump menegaskan bahawa Greenland adalah penting untuk keselamatan nasional dan global, sambil menolak sebarang kemungkinan berundur daripada pendiriannya. Perkara ini dilihat satu langkah yang mencetuskan kebimbangan diplomatik di Eropah.
Pada masa yang sama, Trump mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 200% ke atas arak dan champagne Perancis selepas Presiden Emmanuel Macron enggan menyertai inisiatif damainya, sekali gus menambah tekanan dalam hubungan perdagangan rentas Atlantik.
Sebagai tindak balas, negara-negara Kesatuan Eropah sedang mempertimbangkan tarif balas sehingga AS$108 bilion ke atas barangan Amerika, selepas Trump mengumumkan tarif 10% ke atas lapan negara Eropah mulai 1 Februari, dengan ancaman kenaikan kepada 25% pada Jun jika tiada perjanjian dicapai.
Dalam masa yang sama, ketidakpastian berterusan apabila Mahkamah Agung AS masih belum memutuskan kes berkaitan kuasa Trump untuk mengenakan tarif global, satu keputusan yang berpotensi memberi kesan besar kepada dasar perdagangan dan kestabilan pasaran global.





















































