OpenAI dilaporkan sedang mencadang untuk menyerahkan 5% pegangan syarikat kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebagai usaha meredakan tekanan politik yang semakin meningkat di Washington. Perkara itu dilaporkan oleh Financial Times.
Berdasarkan penilaian terkini OpenAI sebanyak AS$852 bilion selepas pusingan pembiayaan pada Mac lalu, pegangan 5% itu dianggarkan bernilai sekitar AS$42.6 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, dilaporkan percaya rakyat AS perlu mempunyai kepentingan kewangan dalam syarikat AI sebagai cara untuk berkongsi manfaat perkembangan teknologi tersebut
Cadangan itu dikatakan telah dibincangkan bersama pentadbiran Presiden Donald Trump pada awal tahun ini.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada pentadbiran Trump akan menerima atau meneruskan cadangan tersebut.
Laporan itu turut menyatakan kerajaan AS berkemungkinan mahu syarikat AI utama lain seperti Anthropic, Google dan Meta menyertai inisiatif sama melalui dana kekayaan negara. Namun, tiada kepastian sama ada syarikat-syarikat berkenaan bersedia menerima cadangan tersebut.
Idea itu bukan sesuatu yang baharu. Pada April lalu, OpenAI turut mencadangkan penubuhan dana kekayaan awam yang akan memegang aset syarikat AI dan mengagihkan manfaat ekonomi kepada rakyat.
Dalam masa sama, pentadbiran Trump sebelum ini telah mengambil pegangan dalam beberapa syarikat strategik, termasuk Intel, selepas kerajaan melabur AS$8.9 bilion pada Ogos tahun lalu dan memperoleh pegangan sebanyak 10%.
Trump kemudian menyatakan kerajaan sepatutnya memiliki pegangan yang lebih besar dalam syarikat tersebut.
Trump turut menyifatkan pemilikan kerajaan dalam syarikat AI sebagai langkah yang mampu menjadikan rakyat Amerika sebagai “rakan kongsi” dalam revolusi kecerdasan buatan yang sedang berkembang pesat.


























































