Pasport Malaysia kini menduduki tempat kedua dunia dalam Passport Index Global Ranking 2026, meningkat daripada kedudukan ketiga pada tahun lalu.
Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, pencapaian itu mencerminkan kekuatan serta penerimaan pasport Malaysia di peringkat antarabangsa.
Akses Ke 175 Destinasi
Berdasarkan data Passport Index, pemegang pasport Malaysia mempunyai akses ke 175 destinasi di seluruh dunia.
Daripada jumlah itu, 129 destinasi boleh dilawati tanpa visa, manakala 46 destinasi menawarkan visa semasa ketibaan. Sebanyak 23 destinasi pula masih memerlukan visa.
Bagaimana Dengan Indonesia?
Bagi negara jiran, Indonesia berada di kedudukan ke-55 dunia dengan Mobility Score 89.
Pemegang pasport Indonesia mempunyai akses ke 89 destinasi, termasuk 49 destinasi tanpa visa dan 40 destinasi dengan visa semasa ketibaan.
UAE Kekal Di Tempat Pertama
Dalam ranking Passport Power Rank, pasport Emiriah Arab Bersatu (UAE) berada di tempat pertama, manakala Singapura dan Malaysia berkongsi kedudukan kedua.
Pasport Sepanyol pula berada di tempat ketiga, sementara 16 negara lain termasuk Belgium, Denmark, Jerman, Sweden, Itali, Switzerland, Austria dan Norway berkongsi tempat keempat.
Kedudukan ini menunjukkan pemegang pasport Malaysia mempunyai akses perjalanan yang luas ke pelbagai negara tanpa perlu mendapatkan visa terlebih dahulu atau dengan kemudahan visa semasa ketibaan.

























































