Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
XRP kini berada di satu persimpangan yang menarik perhatian. Pada harga sekitar $1.35, ia kelihatan rapuh di permukaan, seolah-olah masih terperangkap dalam tekanan penurunan yang berpanjangan.
Ketika artikel ini ditulis, harga XRP kini berada di paras $1.3233 iaitu positif 0.05% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Namun di sebalik pergerakan harga yang hambar itu, data mendedahkan satu perubahan besar yang sedang berlaku secara senyap.
Di platform seperti Binance, semakin ramai pelabur dilihat mengeluarkan XRP mereka dari bursa dan memindahkannya ke dompet peribadi.
Tindakan ini bukan sesuatu yang kecil, ia membawa maksud jelas bahawa pemegang aset ini tidak bercadang untuk menjual dalam masa terdekat.
Dalam dunia kripto, apabila bekalan di bursa mula berkurang, ia sering menjadi isyarat bahawa tekanan jual semakin melemah.
Lebih menarik, indikator ‘scarcity’ atau kekurangan bekalan XRP kini melonjak ke paras 0.59, tahap tertinggi sejak 2024.
Angka ini bukan sekadar statistik biasa, tetapi mencerminkan perubahan tingkah laku pelabur.
Jika sebelum ini pasaran dibanjiri oleh penjual, kini situasinya beralih kepada kelompok pemegang jangka panjang yang memilih untuk menyimpan, bukan melepaskan pegangan mereka.
Perubahan ini biasanya dikenali sebagai fasa ‘accumulation’, satu tempoh di mana pelabur besar mengumpul aset secara perlahan tanpa menarik perhatian ramai.
Apa yang menjadikan situasi XRP lebih menarik adalah percanggahan yang jelas antara data dan carta harga.
Walaupun aktiviti pengumpulan semakin kuat, struktur harga masih menunjukkan kelemahan.
Sejak mencapai kemuncak sekitar $3.90 pada Julai 2025, XRP terus membentuk corak penurunan dengan siri ‘lower high’, menandakan setiap kenaikan gagal bertahan.
Paras sokongan sekitar $1.15 masih bertahan buat masa ini, menjadi benteng penting kepada kejatuhan yang lebih dalam.
Namun untuk benar-benar mengubah naratif, XRP perlu melepasi sekitar $1.45, satu tahap yang boleh memberi isyarat bahawa pasaran mula membina asas baharu, bukan sekadar meneruskan kejatuhan.























































