Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Aliran dagangan emas kekal positif sejak hujung minggu lalu selepas laporan Non-Farm Payrolls (NFP) Amerika Syarikat yang mencatat bacaan lebih tinggi daripada jangkaan pasaran. Data tersebut memberi isyarat bahawa pasaran buruh AS masih kukuh dan stabil.
Dalam perkembangan geopolitik, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menolak cadangan damai terbaru daripada Iran dengan menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima sama sekali.
Kenyataan itu kembali meningkatkan ketegangan di Timur Tengah, sekali gus mengekalkan sentimen risiko dalam pasaran global.
Ketegangan tersebut turut memberi kesan kepada pasaran tenaga apabila harga minyak mentah terus mencatat kenaikan, didorong kebimbangan gangguan bekalan sekiranya konflik berpanjangan berlaku di rantau berkenaan.
Pada masa sama, Trump turut menyatakan bahawa usaha gencatan senjata antara kedua-dua negara kini berada dalam keadaan rapuh dan disifatkan hanya bergantung kepada “sokongan hayat”, sekali gus menandakan risiko ketidakstabilan masih tinggi dalam landskap geopolitik semasa.
Inflasi AS Papar Impak Sebenar Konflik Tenaga
Tumpuan pasaran kini beralih sepenuhnya kepada laporan Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat bagi bulan April yang akan diterbitkan pada jam 8.30 malam ini (Selasa).
Data ini dianggap antara pemacu utama arah pasaran kerana ia memberi gambaran paling jelas tentang tekanan inflasi dalam ekonomi AS, sekali gus menjadi penentu kepada jangkaan dasar monetari Federal Reserve (Fed).
CPI utama dijangka meningkat kepada 3.8% tahun ke tahun, berbanding 3.3% pada bulan sebelumnya, dengan kenaikan tersebut banyak dipacu oleh lonjakan harga tenaga khususnya minyak mentah.
Sementara itu, CPI teras pula diunjurkan naik kepada 2.9% berbanding 2.6%, menunjukkan tekanan harga masih belum reda sepenuhnya dalam ekonomi domestik AS.
Pelabur meluas bakal melihat angka inflasi ini menjadi ‘ujian sentimen’ sebenar terhadap hala tuju kadar faedah.
Pasaran kini berada dalam fasa sensitif di mana sebarang kejutan data boleh mengubah jangkaan dengan cepat, khususnya berkaitan tempoh kadar faedah tinggi yang telah lama membebankan pasaran kewangan global.
Apa Kesan Pada Pasaran?
Senario 1: Sekiranya CPI datang lebih tinggi daripada jangkaan, ia berpotensi menguatkan pandangan bahawa Fed akan mengekalkan dasar monetari ketat untuk tempoh lebih lama (Higher for Longer).
Situasi ini lazimnya menyokong pengukuhan USD, namun dalam masa sama boleh memberi tekanan kepada aset seperti emas dan pasaran saham.
Senario 2: Jika bacaan inflasi lebih rendah daripada jangkaan, pasaran berkemungkinan mula menghidupkan semula spekulasi mengenai potensi pelonggaran dasar lebih awal.
Ini akan membuka ruang kepada sentimen risiko yang lebih positif, sekali gus memberi sokongan kepada aset seperti emas dan ekuiti.
Struktur Teknikal Pasaran
Dinamika pasaran XAU/USD pada ketika ini dilihat sedang melalui fasa yang cukup mendebarkan bagi para pelabur.
Jika diperhatikan melalui carta harian yang dipaparkan, jelas menunjukkan bahawa momentum kenaikan agresif yang pernah membawa harga mencecah kemuncak di atas paras $5,400 sebelum ini kini telah mula kehilangan taringnya.
Pasaran kini secara rasminya telah memasuki zon konsolidasi atau pergerakan mendatar yang panjang, di mana kedua-dua pihak pembeli dan penjual seolah-olah sedang terlibat dalam satu tarik tali yang cukup sengit bagi menentukan hala tuju besar yang seterusnya.
Secara teknikalnya, struktur harga semasa menunjukkan satu corak yang agak membimbangkan bagi pemegang posisi ‘long‘. Emas kini dilihat sedang bergelut untuk mengekalkan kedudukannya di atas garisan purata bergerak jangka pendek dan sederhana.
Kehadiran purata bergerak SMA 21 dan SMA 50 yang kini berada di atas paras harga semasa bertindak sebagai bumbung rintangan dinamik yang cukup keras.
Setiap kali harga cuba membuat kenaikan untuk mencabar zon $4,800, pasaran segera bertindak balas dengan tekanan jualan yang memaksa harga kembali melorot ke bawah.
Ini memberi isyarat awal bahawa sentimen pasaran buat masa ini lebih cenderung kepada ‘Sell on Rally‘ berbanding mengejar kenaikan di paras tinggi.
Keadaan ini turut disokong oleh indikator kekuatan relatif atau RSI yang kini terapung di sekitar angka 50. Kedudukan ini secara teknikalnya melambangkan zon neutral, di mana momentum tidak memihak kepada mana-mana pihak secara mutlak.
Ketiadaan kecerunan tajam pada RSI mencerminkan keletihan dalam pasaran, yang sering kali menjadi petanda bahawa pelabur sedang menunggu pemangkin fundamental yang lebih besar.
Iaitu sama ada perlu meneliti data ekonomi Amerika Syarikat mahupun ketegangan geopolitik sebelum memutuskan untuk melakukan terjunan atau lonjakan besar yang baru.
Sekiranya kita melihat kepada struktur sokongan, harga kini sedang mendekati zon kritikal di sekitar $4,600 hingga $4,695. Kawasan ini merupakan benteng terakhir bagi menghalang emas daripada terjatuh lebih jauh ke arah paras psikologi yang lebih rendah.
Kegagalan mengekalkan struktur di atas paras ini boleh mencetuskan panik dalam pasaran, yang berupaya mengheret harga menuju ke kawasan permintaan yang lebih kukuh di sekitar $4,400 atau lebih ekstrem, menguji purata bergerak SMA 200 yang masih jauh di bawah.
Sebaliknya, sekiranya emas berjaya mengumpul kekuatan untuk memecahkan dominasi rintangan SMA 50 secara meyakinkan, kita mungkin akan melihat cubaan semula untuk mencabar semula paras $5,000.
Pemerhatian teknikal kali ini, pasaran emas sedang berada dalam fasa pembetulan yang sihat namun penuh dengan risiko sekiranya sokongan semasa gagal dipertahankan. Pedagang perlu lebih berhati-hati dengan sebarang ‘false breakout‘ di zon rintangan semasa.
Dalam keadaan pasaran yang sedang mencari arah ini, kesabaran untuk menunggu pengesahan harga di luar kotak konsolidasi adalah kunci utama sebelum sebarang keputusan dagangan besar diambil.
Emas mungkin masih mengekalkan status aset selamat, namun secara teknikalnya, kilauan itu perlu melepasi rintangan $4,800 terlebih dahulu sebelum pelabur boleh kembali menarik nafas lega.






















































