Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama pada Jumaat, namun kekal hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua (S2) hari ini.
Pada jam 10:15 pagi, ringgit berada pada paras RM4.0780 iaitu menyusut 0.20% sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran kini memberi tumpuan kepada anggaran awal pertumbuhan KDNK Malaysia bagi S2 2026, dengan unjuran konsensus berada pada 5.3%.
Beliau berkata, Bank Muamalat mengunjurkan anggaran awal KDNK S2 2026 berkembang 5.1%, disokong oleh permintaan luar yang kekal kukuh, khususnya peningkatan eksport berkaitan sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Menurutnya, pertumbuhan KDNK melebihi 5% dianggap sebagai prestasi yang baik bagi ekonomi Malaysia, terutama jika didorong oleh aktiviti pelaburan, sekali gus mampu memberi sokongan positif kepada nilai ringgit.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.28% kepada 100.763 mata berikutan beberapa pegawai Rizab Persekutuan (Fed) masih menyokong kadar faedah yang lebih tinggi bagi menurunkan inflasi ke sasaran 2%.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan ringgit akan terus bergerak dalam julat RM4.06 hingga RM4.08 kerana sentimen pasaran masih tertumpu kepada keputusan kadar faedah Fed.
Pada pembukaan dagangan, ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4865/4959 daripada 5.4987/5034 ketika ditutup pada Khamis.
Ringgit turut meningkat berbanding euro kepada 4.6593/6673 daripada 4.6678/6718, serta mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5068/5112 berbanding 2.5102/2015 semalam.
Berbanding mata wang serantau, ringgit turut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1551/1610 daripada 3.1583/1612 pada penutupan Khamis, dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1161/1430 daripada 12.1247/1399 sebelum ini.
Sementara itu, ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 226.3/226.8 berbanding 226.3/226.6 ketika ditutup pada Khamis, serta kekal stabil berbanding peso Filipina pada 6.60/6.62 berbanding 6.60/6.61 sebelum ini. -Bernama
Nak jumpa kami secara bersemuka? Singgah ke Invest Fair di Mid Valley Exhibition Centre pada 18-19 Julai 2026, di Booth 330, Hall 3. Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan merchandise eksklusif Intraday, selagi stok masih ada!
























































