Ketegangan yang mereda antara Iran dan Israel memberi ruang bernafas buat harga minyak mentah ketika tumpuan beralih kepada laporan inflasi Amerika Syarikat.
Harga minyak mentah Brent kini dilaporkan mendatar di sekitar paras 94.40 dolar setong. Iran dan Israel menyatakan komitmen untuk mengurangkan serangan balas demi menyelamatkan rundingan damai yang hampir musnah.
Tumpuan utama pelabur kini terarah kepada status laluan maritim paling kritikal dunia iaitu Selat Hormuz. Walaupun sebilangan kapal komersial dilaporkan mula memberanikan diri melalui laluan tersebut, risiko keselamatan yang tinggi memaksa sebahagian kapal memadamkan sistem pengesan digital mereka.
Debaran Menanti Angka Keramat Inflasi
Di sebalik ketenangan geopolitik, emosi pelabur kembali berbolak-balik menjelang pengumuman Indeks Harga Pengguna atau CPI pada hari Rabu esok. Pasaran menjangkakan angka inflasi Mei melonjak kepada 4.2 peratus sekali gus mencatatkan rekod tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun.
Bagaimanapun, kami di Intraday melihat inflasi teras berpotensi mengalami sedikit penurunan dalam skala bacaan bulanan. Isyarat ini amat dinantikan kerana ia mampu memberikan kelegaan kepada pegawai bank pusat Rizab Persekutuan (Fed).


















































