Pembukaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dijangka menjadi pemangkin baharu kepada ekonomi Johor apabila perbelanjaan rakyat Singapura di Johor Bahru diunjurkan meningkat sebanyak S$1.05 bilion (kira-kira RM3.3 bilion) setiap tahun selepas laluan itu mula beroperasi pada Januari 2027.
Kajian yang dijalankan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Persatuan Restoran Singapura (RAS) dan Persatuan Peruncit Singapura (SRA) menunjukkan kemudahan pengangkutan yang lebih pantas akan mendorong lebih ramai rakyat
Singapura datang ke Johor Bahru untuk membeli-belah, menjamu selera, mendapatkan perkhidmatan serta bercuti.
RTS Link dijangka menambah sebanyak 11.2 juta perjalanan pergi balik dari Singapura ke Johor Bahru setiap tahun, dengan purata hampir 39,700 perjalanan sehari.
Pada masa sama, Singapura turut dijangka menerima manfaat apabila perbelanjaan tahunan daripada pengunjung Johor Bahru diunjurkan meningkat sebanyak S$756 juta.
Peningkatan kesalinghubungan ini dijangka menarik lebih ramai rakyat Johor menghadiri acara hiburan, membeli-belah dan mendapatkan produk premium di Singapura.
Walaupun memberi manfaat kepada kedua-dua negara, RTS Link dijangka meningkatkan persaingan dalam sektor runcit dan makanan serta minuman (F&B), khususnya di Singapura.
Perniagaan di negara itu dijangka memberi tumpuan kepada pengalaman pelanggan, inovasi serta peningkatan produktiviti bagi mengekalkan daya saing apabila laluan RTS Link sepanjang empat kilometer itu mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027.
Nak jumpa kami secara bersemuka? Singgah ke Invest Fair di Mid Valley Exhibition Centre pada 18-19 Julai 2026, di Booth 330, Hall 3. Jangan lepaskan peluang untuk dapatkan merchandise eksklusif Intraday, selagi stok masih ada!

























































