Kejatuhan dalam dunia perniagaan tidak semestinya menjadi penamat. Sejarah membuktikan banyak syarikat gergasi dunia pernah berdepan krisis kewangan, kerugian besar malah ada yang memfailkan perlindungan muflis.
Namun, dengan strategi yang tepat, inovasi serta keberanian membuat perubahan, mereka berjaya bangkit dan kembali menjadi peneraju dalam industri masing-masing.
1. Apple
Hampir muflis pada 1997 selepas mengalami kerugian besar dan kejatuhan jualan komputer.
Keadaan mula berubah apabila Steve Jobs kembali menerajui syarikat, disusuli pelaburan sebanyak AS$150 juta daripada Microsoft.
Apple kemudian memperkenalkan produk ikonik seperti iMac, iPhone dan MacBook, sekali gus mengubah hala tuju syarikat sehingga kini bernilai lebih AS$3 trilion.
2. Marvel
Telah memfailkan perlindungan muflis pada 1996 selepas jualan komik merosot dan dibebani hutang. Syarikat itu bangkit dengan memberi tumpuan kepada penerbitan filem berasaskan watak adiwira dan melancarkan Marvel Cinematic Universe (MCU).
Kejayaannya menarik perhatian Disney yang mengambil alih Marvel pada 2009, menjadikannya antara francais hiburan paling berjaya di dunia.
3. General Motors (GM)
Telah memfailkan kebankrapan pada 2009 ketika krisis kewangan global. GM berjaya pulih selepas menstruktur semula operasi, menutup jenama yang tidak menguntungkan serta menerima bantuan kerajaan Amerika Syarikat.
4. LEGO
Hampir muflis pada 2003 dan 2004 akibat terlalu banyak produk yang kurang mendapat sambutan.
Syarikat itu kembali kukuh dengan memberi fokus kepada blok LEGO, mengurangkan kos operasi serta mengembangkan perniagaan melalui filem, permainan video dan kerjasama dengan pelbagai jenama terkenal.
5. Delta Air Lines
Telah memfailkan perlindungan muflis pada 2005 akibat kenaikan harga bahan api dan persaingan sengit.
Selepas menyusun semula hutang, meningkatkan kecekapan operasi dan bergabung dengan Northwest Airlines pada 2008, Delta kembali menjadi antara syarikat penerbangan terbesar di dunia.
Kisah syarikat-syarikat ini membuktikan bahawa kegagalan bukan pengakhiran, sebaliknya peluang untuk membina semula perniagaan dengan strategi yang lebih kukuh dan mampan.






























































