Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, telah dipanggil oleh Jabatan Negara AS bagi memberikan penjelasan mengenai pendirian Malaysia terhadap Israel.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, duta Malaysia menjelaskan bahawa dasar negara yang tidak mengiktiraf Israel bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah lama menjadi pendirian rasmi Malaysia. Dasar imigresen negara juga tidak mengiktiraf Israel atau rejim Zionis.
Menurut beliau, seorang individu yang memiliki dua kewarganegaraan, iaitu AS dan Israel, telah memasuki Malaysia menggunakan pasport AS. Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati individu berkenaan turut memiliki kewarganegaraan Israel sebelum diarahkan meninggalkan Malaysia.
Isu itu tercetus selepas Network School, sebuah komuniti nomad digital yang diasaskan oleh usahawan Amerika, Balaji Srinivasan di Forest City, Johor, didakwa menerima penyertaan warga Israel.
Siasatan Jabatan Imigresen mendapati semua peserta memiliki dokumen perjalanan yang sah, namun premis tersebut kemudiannya diarahkan menghentikan operasi selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaannya atas pelanggaran syarat pelesenan dan penggunaan premis.
Susulan itu, lapan ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara, Marco Rubio, menggesa Washington mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia.
Mereka turut mencadangkan pembiayaan Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) digantung sekiranya pendirian Malaysia terhadap warga Israel tidak diubah dalam tempoh 15 hari.
Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan kekal berpegang kepada dasar lama yang menyokong perjuangan Palestin serta tidak mengiktiraf negara Israel.


























































