3 Matawang Dari Negara Ini Meningkat Susulan Keberhasilannya Membendung COVID-19

1,588

Australia, New Zealand dan Korea Selatan antara negara yang berjaya membendung penularan pandemik coronavirus daripada menjangkiti dan meragut lebih banyak nyawa, sekurang-kurangnya buat masa ini. Kejayaan ini telah meningkatkan keyakinan pelabur dan menunjukkan kekuatan dalam matawang mereka.

Dolar Aussie antara matawang yang paling terkesan ketika penularan COVID-19 merebak dengan luas di China, sehingga membawanya ke paras terendah $0.5798 berbanding US dolar pada pertengahan Mac, sebelum kembali mencatat peningkatan sebanyak 11.4% untuk diniagakan tinggi di sekitar harga $0.6460.

Australia bertindak pantas dengan menutup sempadan dan mengenakan sekatan pergerakan ketika coronavirus mula menular di negara itu. Hasilnya, kes baru di Australia berjaya turun kepada satu digit pada minggu ini, dengan keseluruhannya merekodkan 6,725 kes dan 84 kematian.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison memberi indikasi bahawa mereka akan mengurangkan sekatan ke atas perkhidmatan kesihatan dan pendidikan secara beransur-ansur bermula minggu ini.

Sementara itu, New Zealand telah berjaya mengekalkan jumlah kes dan kematian yang rendah berbanding negara lain dengan hanya mencatat 1,472 kes jangkitan dan 19 kematian.

Hal ini telah mendorong keyakinan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern untuk mengisytiharkan negara itu bebas daripada wabak COVID-19 serta melonggarkan sekatan dan membuka semula ekonomi mereka secara beransur-ansur bermula semalam.

Pada pertengahan Mac, dolar New Zealand telah menyusut kepada ke paras terendah $0.5666 dan sejak itu ia telah meningkat kira-kira 6.4% untuk diniagakan di atas paras harga $0.60 berbanding US dolar.

Selain itu, Korea Selatan antara negara terawal yang paling teruk terjejas di Asia selepas China, akhirnya berjaya membendung penularan COVID-19 dengan hanya melaporkan kurang daripada 10 peningkatan kes harian. Secara keseluruhannya negara itu telah mencatatkan 10,792 kes dan 244 kematian.

Won Korea yang melemah ke sekitar paras harga 1.270 pada awal Mac, kembali meraih pengukuhan hampir 5% pada pertengahan April apabila kes yang dicatatkan terus berkurang.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat