Akhirnya, Senheng Buat Debut Pada Pasaran Bursa Malaysia

821

Permulaan yang baik bagi tahun 2022 untuk Senheng.

Senheng New Retail Bhd, peruncit barangan eletrik dan eletronik (EE) tempatan, telah melakukan debut sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini (25 Januari 2022) dengan harga dagangan 90 sen, diskaun 17 sen daripada harga tawaran permulaan (IPO) pada RM1.07.

Semasa sesi dagangan pagi, saham syarikat tersebut dilihat didagangkan sebanyak 6.19 juta saham.

Senheng merupakan syarikat pertama yang disenaraikan di Bursa pada tahun ini.

Pengerusi eksekutif syarikat, Lim Kim Heung menyatakan syarikat tersebut menyasarkan untuk mengumpul RM267.5 juta daripada IPO di mana RM22 juta akan digunakan bagi membangunkan perniagaan jenama baru dan RM106.5 juta bagi tujuan menaik taraf kedai dan pembinaan kedai baru.

Ujarnya lagi, RM29.7 juta akan digunakan bagi menaik taraf gudang dan rangkaian logistik syarikat dan baki RM55.3 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank serta perbelanjaan penyenaraian.

Dalam pada itu, Rakuten Trade dalam notanya menyatakan Senheng akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan dalam segmen produk pengguna EE yang inovatif dan pendapatan boleh guna yang meningkat.

Tambahnya lagi, firma tersebut menjangkakan Senheng akan mencatat hasil 3 tahun dan kadar pertumbuhan tahunan kompaun keuntungan bersih (CAGR) sebanyak 12.8% dan 19.9% pada RM1.86 bilion dan RM95.5 juta bagi tahun kewangan 2023 (FY23).

Umum mengetahui bahawa Senheng merupakan peruncit EE terbesar tempatan dengan memiliki sebanyak 105 kedai fizikal dan mengeluarkan 10,000 unit penyimpanan stok (SKU) daripada lebih 280 jenama dalam dan luar negara.

Setakat sesi tengah hari, sahamnya kekal didagangkan pada 90 sen dengan 95.82 juta saham diniagakan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat