Alamak! Bursa Malaysia Merah Ikut Wall Street

206

Pada jam 9.05 pagi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.10 mata pada 1,612.44 daripada penutupan Khamis pada 1,618.54.

Indeks dibuka lemah 2.54 mata pada 1,616.00.

Ia dibuka dalam pengunduran daripada keuntungan semalam ekoran mengikuti prestasi terumbang-ambing di Wall Street yang bersangkut-paut kepada krisis Rusia-Ukraine.

Di pasaran meluas, pelabur menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung dengan 279 berbanding 129, manakala 215 kaunter pula tidak berubah, 1,617 tidak didagangkan dan 10 digantung.

Jumlah perolehan pada 203.5 juta unit bernilai RM109.72 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks-indeks utama Wall Street mengalami penurunan pada sesi dagangan semalam dan kebimbangan terhadap perang Rusia-Ukraine melonjakkan harga komoditi.

Tambahnya, dana asing akan terus mengumpul saham tempatan bagi mengambil kesempatan daripada penilaian rendah sekali gus menjangkakan indeks akan berada pada paras 1,610-1,625.

Saham berwajaran tinggi menyaksikan Maybank turun 4 sen pada RM9.08, Public Bank Bhd kekal RM4.43, Petronas Chemicals Group Bhd naik 26 sen pada RM10.26, Press Metal Aluminium Holdings Bhd hilang 2 sen pada RM7.20 dan IHH Healthcare Bhd jatuh 3 sen pada RM6.54.

Saham aktif memperlihatkan China Automobile Parts Holdings Bhd naik 1 sen pada 20 sen, TDM Bhd lonjak 1.5 sen pada 32.5 sen dan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) susut 2 sen pada RM1.06.

Di papan indeks, FBM Emas turun 42.41 mata pada 11,435.26, FBM Emas Shariah jatuh 53.93 mata pada 12,187.72, FBM 70 undur 39.56 mata pada 13,398.53, FBMT 100 susut 40.09 mata pada 11,114.65 dan FBM ACE layu 61.88 mata pada 5,614.71.

Segi sektor, indeks Industri Produk dan Perkhidmatan mengukuh 1.57 mata pada 215.89, indeks Perkhidmatan Kewangan mengecut 29.04 mata pada 16,478.44 dan indeks Perladangan menyusut 30.89 mata pada 8,751.70.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat