Pengukuhan yang dicatatkan harga minyak mentah tidak bertahan lama selepas dagangan komoditi hitam itu kembali merosot ketika pasaran menuju ke penghujung minggu.
Setelah menyentuh paras ketinggian terbaru tujuh tahun pada $83.70 setong, dagangan minyak mentah WTI Amerika Syarikat kembali susut dengan diperdagangkan pada harga $81.84 setong.
Sementara minyak mentah Brent pula menyusut pada $83.47 setong, gagal mempertahankan kenaikan harga yang dicatatkan pada $85.45 setong sebelum ini.
Kejatuhan ini mungkin disebabkan oleh pengambilan untung oleh pelabur selepas memacu kenaikan harga komoditi hitam itu ke paras tertinggi tahunan terbaru pada Khamis.
Pasaran minyak telah menguat dengan ketara berikutan kekurangan bekalan arang batu dan gas asli mendorong penggunaan minyak mentah yang lebih tinggi, sekali gus menyokong kenaikan harga.
Selain itu, penurunan ketara dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat pada minggu lalu turut menyokong dagangan komoditi hitam itu dan berada di landasan untuk kenaikan 0.5% pada minggu ini.
Data dari Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) pada Rabu menunjukkan stok minyak mentah di Cushing jatuh kepada 31.2 juta tong, tahap paling rendah sejak Oktober 2018.