Data-Data Jepun Secara Keseluruhannya Positif Hari Ini, Jualan Runcit Melonjak

85

Kejatuhan perbelanjaan isirumah di Jepun berterusan pada April dengan penyusutan 1.4% berbanding setahun yang lalu berbanding data pada bulan Mac yang merekod kemerosotan 1.3%. Jangkaan pasaran bagi bacaan kali ini hanyalah penyusutan sebanyak 0.7%.

Penggunaan isirumah telah jatuh setiap bulan sejak Februari 2016 di mana negara ini jatuh ke dalam deflasi yang mengancam pertumbuhan ekonomi. Namun, Jepun kini tetap merekod pertumbuhan walaupun masih di tahap rendah.

Ekonomi bergerak semakin pantas sebanyak 0.5% pada suku pertama dan merupakan pertumbuhan tertinggi sejak suku pertama 2016 dan kali pertama dalam masa 10 tahun ekonomi berkembang positif selama lima suku berturut-turut.

Dalam data berasingan, jualan runcit pada April pula merekod kenaikan selama enam bulan berturut-turut yang menunjukkan bukti pemulihan dalam perbelanjaan pengguna selepas jatuh lebih dari setahun.

Jualan runcit meningkat 3.2% bulan lalu berbanding 2.1% pada bulan sebelum itu. Bacaan kali ini juga adalah yang tertinggi sejak April 2015 dan jauh melebih jangkaan pasaran dengan kenaikan 2.2%.

Jualan runcit merupakan petunjuk utama yang menggambarkan trend terkini perbelanjaan pengguna yang merupakan pemandu utama ekonomi ketiga terbesar dunia ini.

Satu lagi data yang dikeluarkan pagi tadi ialah, kadar pertumbuhan buruh di Jepun meningkat kepada bacaan terkuat melebihi 40 tahun manakala kadar pengangguran kekal stabil pada bacaan terendah dalam tempoh dua dekad pada bulan April.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat