Data Tumpuan Eropah Jadi Pemacu Dagangan Euro Dan Pound

403

Permulaan dagangan sesi Eropah dihiasi dengan penerbitan data PMI pembuatan dan perkhidmatan dari Zon Eropah dan UK pada bulan Julai.

Aktiviti perniagaan di Zon Eropah terus menunjukkan pengukuhan pada bulan ini, dengan kenaikan paling kuat dalam tempoh 15 tahun, disokong oleh pelonggaran sekatan coronavirus terutamanya dari sektor perhotelan, pengangkutan dan pelancongan.

Sementara aktiviti pembuatan pula sedikit merosot tetapi masih lagi memaparkan pengukuhan, walaupun berdepan dengan gangguan rantaian bekalan yang membendung pengeluaran pembuatan.

Ekonomi terbesar Eropah, Jerman mempamerkan pertumbuhan memberangsangkan pada bulan ini dengan mencatatkan peningkatan dalam kedua-dua sektor. Berbeza pula dengan Perancis, yang menunjukkan sedikit penurunan dalam aktiviti perniagaan dan pembuatan.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya pertumbuhan masih menunjukkan pengukuhan untuk bermula dengan baik pada suku ketiga.

Matawang euro diniagakan meningkat susulan bacaan yang positif ini, namun pergerakan yang dipamerkan terbatas kerana masih terkesan dengan pengumuman dasar Bank Pusat Eropah (ECB) yang masih kekal dovish.

Sementara itu, pelabur pada sesi Eropah turut diperlihatkan dengan bacaan data PMI dari UK yang menunjukkan pertumbuhan yang lebih lemah daripada dijangkakan dalam kedua-dua sektor pada bulan Julai.

Kegiatan perniagaan di UK merosot ke tahap terendah sejak Mac, dilemahkan oleh peningkatan kes coronavirus yang melemahkan permintaan pengguna. Sementara aktiviti pembuatan turut menurun, terkesan dengan gangguan rantaian bekalan sehingga menyebabkan peningkatan harga barang dan perkhidmatan.

Matawang pound kembali memaparkan penyusutan susulan bacaan yang mengecewakan ini, dengan didagangkan di sekitar harga 1.37300 berbanding US dolar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat