- Jangkaan untuk pemotongan kadar Fed semakin kuat
- Jualan runcit AS ‘selamatkan’ US dolar
- Emas pecah rekod tertinggi terbaru sepanjang masa
Sentimen pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) masih lagi hangat berlegar dalam pasaran selepas isyarat yang diperolehi daripada Pengerusi Jerome Powell di awal minggu ini.
Mengimbas kenyataan Powell yang terbaru, Fed berkemungkinan tidak akan menunggu sehingga inflasi benar-benar mencapai sasaran 2% untuk memulakan pemotongan kadar.
Inflasi Amerika Syarikat (AS) yang berada di paras 3.0% ketika ini telah menunjukkan penurunan untuk 3 kali bacaan berturut-turut bagi suku kedua 2024.
Situasi ini dilihat akan memberi tekanan kepada US dolar dan penganalisis pasaran menilai mata wang itu akan alami penurunan yang ketara selepas ini.
Namun, ia masih tidak berlaku di awal minggu dan pergerakan US dolar kekal stabil sehingga sesi New York semalam yang disokong oleh terbitan data jualan runcit AS yang catatkan bacaan positif pada Jun.
Pelabur menanti tercetusnya kejatuhan US dolar selepas memerhatikan indeks dolar (DXY) susut berlegar sekitar 104.200 mata dan hasil perbendaharaan 10-tahun AS pula jatuh ke paras 4.16%.
Mata wang utama lain menunggu masa untuk mengukuh selepas ini sementara US dolar masih lagi bertahan daripada alami penyusutan.
Impak lebih awal berlaku ke atas pasaran emas semalam apabila pelabur menyaksikan nilai logam kuning itu memecah rekod tertinggi terbaru sepanjang masa mencapai paras $2,470.
Harga terbaru yang dicatatkan itu telah melepasi rekod sebelum ini yang dicapai pada Mei lalu sekitar $2,450.