Euro Dollar yang melonjak lebih 110 pips selepas minit mesyuarat FOMC Amerika Syarikat mengesahkan kelewatan kenaikan “interest rate” Rabu kelmarin; kini menjunam semula ke paras sebelum lonjakan dibuat – sekitar 1.1375 – sekaligus membolosi pivot harian – sekitar 1.1380; walaupun pivot mingguan – sekitar 1.1370 – masih bertahan.
Di Eropah, pasaran melihat parti politik Syriza yang baru memerintah Greece, terumbang-ambing memohon bantuan dana kecemasan untuk 6 bulan. Permohonan baru ini adalah berbeza dengan lanjutan atau pembaharuan bantuan sebelumnya, yang datang dengan langkah berjimat-cermat yang serius. Perdana Menteri Alexis Tsipras berkata, Greek perlukan hanya 6 bulan untuk berubah kepada yang baru dan lebih baik.
Akhir bulan ini, Greece bakal berdepan dengan kebangkrapan, sekiranya tiada bantuan dana kecemasan. Sekiranya ini berlaku, besar kemungkinan Greek terpaksa keluar dari Kesatuan Eropah dan membatalkan semua perjanjian dengan ‘troika’. Hari ini Jerman dan Perancis bakal melaporkan “manufacturing PMI” yang dijangka lebih baik. Ini boleh mendorong permintaan untuk Euro, walaupun ianya dilihat bersifat sementara ekoran kemelut “Grexit”.