Pound Dollar terus didagangkan dalam suasana “ranging” dan dagangan tipis dengan pergerakan tidak melebih 30 mata Jumaat lalu. Sterling menutup pasaran sekitar 1.5552 yang jauh lebih rendah dari jangkaan untuk tahun 2014 – 1.6000 oleh Societe Generale Oktober lalu. Pound hilang tarikan pada Julai lalu apabila Bank of England menafikan spekulasi pasaran untuk menaikkan “interest rate” tahun ini.
Minggu lalu, Ketua Setiausaha Khazanah UK, Danny Alexander telah mengkritik Chancellor George Osborne yang dikatakan sedang memusnahkan perkhidmatan awam UK dengan pemotongan perbelanjaan sebanyak 60 bilion Pound. Menurut Alexander, berbilion-bilion Pound bakal dipotong menjelang 2020 dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan negara, dan ini bakal menjejaskan perkhidmatan awam sekiranya pemotongan itu melebihi had munasabah dan keperluan negara.
“Rakyat bersedia menghadapi pengurangan defisit bila ianya perlu, tetapi sekiranya ia lebih mejurus kepada kepentingan politik dan ideologi, mereka akan menolaknya” tambah Alexander lagi. Ketika ini defisit UK telah melebihi 5% dari pengeluaran ekonomi. Walaupun ianya telah berkurangan dari 10% ketika Parti Konservatif bekerjasama dengan Parti Liberal Demokrat pada tahun 2010; angka itu masih jauh dari yang dijanjikan iaitu 1% pada 2015.
Pada masa yang sama, ekonomi Amerika Syarikat yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan mendorong Federal Reserve untuk menaikkan “interest rate’ seawal tahun depan selepas berada pada paras terendah dalam sejarah semenjak December 2008. Keadaan ini tambah memburukkan lagi nilai tukaran GBP|USD yang terus merudum ekoran meningkatnya permintaan untuk Dollar.
Tiada sebarang data ekonomi dari UK mahupun AS hari ini, dan pasaran dijangka “ranging” dalam dagangan tipis.