Pound Dollar berada dalam dagangan ‘ranging’ Selasa semalam, dengan pergerakan sekitar 50 pips, pada paras tertinggi harian sekitar 1.5396 dan terendah sekitar 1.5343; selepas data “PMI constructions” UK dilaporkan lebih baik, 60.1 berbanding 59.0 jangkaan dan 59.1 pada sebelumnya. Pasaran dilihat dipenuhi aktiviti pengambilan untung belian, sejak awal Februari lalu. Dengan nilai tukaran GBP|USD yang telah pun memacu naik hampir 600 pips sepanjang Februari lalu, para pedagang dan pengurus dana tidak dilihat membuat pembelian baru.
United Kingdom bakal berdepan dengan pilihanraya umum Mei ini, dan sebarang data ekonomi yang memberansangkan amatlah diharapkan parti pemerintah bagi terus mendapatkan sokongan rakyat. Kadar pengangguran 5.7% pada suku ke-4 2014 lalu, dilaporkan adalah yang terendah dalam tempoh 6 tahun. Pemohon bantuan pengangguran telah mengurang sebanyak 500 ribu berbanding setahun yang lalu, dan 700 ribu peluang pekerjaan yang baru telah diwujudkan dalam tempoh yang sama.
Hari ini dengan ketiadaan data berimpak tinggi dari United Kingdom, Dollar dilihat mampu menguasai pasaran terutamanya dengan “ADP employment change” AS yang dijangka menambah dari 213 ribu kepada 220 ribu pekerja.