Harga emas terus merudum untuk hari ketujuh berturut-turut, susut lebih $8.10/oz Khamis semalam untuk mencapai paras terendah dalam tujuh minggu, sekitar $1,103.05/oz sebelum menutup sekitar paras $1,103.70/oz; setelah pasaran mula mengalihkan tumpuan mereka kepada laporan pekerjaan sektor bukan perladangan (NFP) hari ini, untuk petunjuk yang lebih mendalam kepada kekuatan ekonomi AS dan kemungkinan kenaikan kadar jangka pendek.
Ramalan konsensus adalah data akan menunjukkan pertumbuhan pekerjaan sebanyak 179 ribu pada bulan Oktober, selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 142 ribu pada bulan September, manakala kadar pengangguran dijangka turun dari 5.1% kepada 5%. Pada masa yang sama, pendapatan purata sejam dijangka bertambah baik dari sifar kepada 0.2%. Satu laporan NFP yang kuat berkemungkinan menambah keyakinan terhadap jangkaan bagi kenaikan kadar pada Disember, manakala angka yang lemah boleh menjejaskan hujah untuk kenaikan awal.
[adrotate group=”6″]
Dalam pada itu, Khamis semalam Jabatan Buruh AS berkata bilangan individu yang memfailkan untuk bantuan pengangguran pada minggu lepas meningkat sebanyak 16 ribu kepada 276 ribu berbanding 260 ribu pada minggu sebelumnya. Penganalisis menjangkakan penambahan sebanyak 3 ribu sahaja kepada 263 ribu pemohon. Ketidakstabilan pasaran pekerjaan boleh membantutkan langkah Federal Reserve untuk menaikkan kadar pada Disember ini, sekaligus menyokong belian untuk emas.