Harga Minyak Melonjak Hampir 25%, Trump Berjaya ‘Pujuk’ Arab Saudi Dan Rusia?

1,911

Harga minyak mentah kembali mencatat peningkatan selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengeluarkan kenyataan mengenai Arab Saudi dan Rusia akan kembali ke meja rundingan untuk meneruskan rancangan pemotongan pengeluaran minyak.

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Trump memberitahu bahawa beliau telah menghubungi Presiden Rusia Vladimir Putin dan Putera Arab Saudi Mohammed bin Salman dalam usaha untuk meredakan ketegangan antara dua negara itu disebabkan kegagalan pakatan sebelum ini.

Terbaru, dalam satu ciapan di laman twitter beliau, Trump menjangkakan Arab Saudi dan Rusia akan memotong pengeluaran minyak mentah sebanyak 10 juta tong atau lebih sehingga mencecah 15 juta tong sehari.

Niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat melonjak hampir 25% kepada $25.32 setong, manakala minyak mentah Brent meningkat 21% kepada $29.94 setong sebaik sahaja Trump mengeluarkan kenyataan tersebut.

Kenyataan Trump bukan sahaja mendorong pemulihan dalam harga minyak, malah turut mengangkat sentimen pasaran kewangan dan ekuiti. Di pasaran Wall Street, saham Dow Jones meningkat 2.2%, S&P500 menokok 2.3 dan Nasdaq pula naik sebanyak 1.7%.

Sementara itu, agensi berita tempatan Arab Saudi melaporkan bahawa negara itu telah memanggil ahli-ahli Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengadakan mesyuarat kecemasan dalam usaha untuk menstabilkan pasaran minyak ketika berdepan krisis COVID-19.

Dalam pada itu, Rusia juga telah memutuskan untuk tidak meningkatkan pengeluaran minyaknya kerana ia dilihat mustahil bagi syarikat minyak negara itu untuk menambah pengeluaran ketika pasaran dibanjiri oleh lebihan bekalan dalam pasaran minyak mentah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat