Harga Minyak Mentah Melonjak ke Paras Tertinggi 3 Tahun Lalu Menjelang Mesyuarat OPEC

390

Harga minyak mentah terus membuat kenaikan dan menghampiri paras tertinggi yang pernah dicapai 3 tahun yang lalu. Kenaikan ini banyak disokong oleh penurunan inventori di Amerika Syarikat dan usaha Arab Saudi yang mengurangkan bekalan mereka.

Minyak mentah Brent setakat ini didagang di sekitar $74.25 setong naik dari paras terendah $70.37. Manakala minyak WTI (West Texas Intermediate) kini didagang di sekitar $69.02 naik dari paras terendah minggu ini iaitu $65.68 setong.

Apa yang banyak menyokong harga ketika ini adalah data inventori EIA yang menunjukkan stok minyak di Amerika jatuh sebanyak 1.1 juta tong pada minggu lalu berbanding jangkaan pengurangan sebanyak 500 ribu tong.

Kenaikan ini banyak disokong oleh data inventori yang dikeluarkan pada Rabu dan juga risiko geopolitik di Timur Tengah sejak beberapa minggu ini. Tumpuan pasaran komoditi hitam ketika ini akan tertumpu kepada mesyuarat OPEC dan pengeluar bukan OPEC di Jeddah, Arab Saudi pada 20 April.

Rancangan pemotongan bekalan antara pengeluar OPEC dan Russia bermula sejak tahun 2017 bagi mengimbangi semula bekalan minyak mentah dunia. Untuk rekod, harga minyak begitu tertekan sehingga jatuh kepada harga $30 setong pada awal tahun 2016.

Komoditi minyak mentah adalah penting kepada negara-negara OPEC terutamanya Arab Saudi untuk kestabilan fiskal kerajaan. Lebih-lebih lagi negara-negara itu dalam fasa perubahan dan memerlukan bajet yang lebih banyak untuk menjayakan perancangan mereka.

Sejak awal pemotongan bekalan yang dibuat pada 2017, harga minyak mentah membuat kenaikan secara beransur-ansur sehinggalah kini komoditi hitam melepasi harga $70 setong.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat