Hari Penentu BOE Dan ECB, Adakah Jejak Langkah Fed Akan Diikuti?

445

Pelabur kini menanti dengan penuh debaran terhadap langkah yang akan diambil oleh Bank Pusat England (BOE) dan Eropah (ECB) pada malam ini selepas menyaksikan Federal Reserve (Fed) mempercepatkan pengurangan pembelian bonnya.

Adakah jejak langkah Fed akan disusuli oleh kedua-dua bank pusat ini?

Umum mengetahui bahawa BOE masih lagi cuba berhati-hati untuk memulakan pengetatan dasar dengan menaikkan kadar faedah ketika inflasi yang tinggi terus memberi risiko buat ekonomi negara itu.

Hal ini kerana, UK dilihat masih tidak terlepas daripada ancaman Covid-19, malah, kemunculan varian baharu Omicron telah memburukkan lagi keadaan di negara itu dengan pertambahan kes jangkitan setiap hari sehingga memaksa Perdana Menteri Boris Johnson melaksanakan semula langkah sekatan lebih ketat.

Data terbaru yang diterbitkan pada Rabu, menunjukkan kadar inflasi UK meningkat lebih tinggi kepada 5.1% pada November, iaitu angka tertinggi pernah direkodkan sejak September 2011.

Ini membuatkan pelabur tidak pasti sama ada bank pusat akan mengambil langkah sama dengan Fed untuk mengekang inflasi dan pada masa yang sama, Covid-19 terus mengancam pemulihan negara itu.

Sementara itu, ECB dijangka secara meluas akan menamatkan program pembelian bon kecemasannya pandemiknya (PEPP) seperti yang dijadualkan pada bulan Mac 2022.

Berbeza dengan BOE, ECB tidak mengambil berat mengenai tekanan inflasi di Zon Eropah dan menegaskan kenaikan itu hanya sementara walaupun indeks harga pengguna pada November meningkat tinggi.

Namun, pelabur juga tertanya-tanya sama ada pandangan tersebut akan berubah pada mesyuarat polisi malam ini.

Sekiranya kedua-dua bank pusat gagal mengikuti langkah Fed yang hawkish, ini mungkin peluang untuk US dolar kembali meningkat tinggi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat