“Hmm entah-entah lepas ni fear pula naik, tapi itulah peluang untuk kita sauk lagi BTC kan?”
Hanya beberapa hari selepas kelulusan spot Bitcoin (BTC) ETF, harga raja mata wang kripto tersebut kini berlegar-legar di bawah $43,000 apabila Indeks Fear & Greed kembali ke tahap neutral yang pernah dilihat pada Oktober 2023.
Pertukaran itu telah berlaku kurang daripada seminggu setelah Indeks Fear & Greed mencecah “extreme greed” sebanyak 76 semasa seluruh pasaran kripto menjangkakan spot BTC akan diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC).
Memang tidak dinafikan BTC menggunung sehingga $49,000 apabila SEC meluluskan produk tersebut, tetapi harganya mula jatuh serendah $41,500 menjelang 12 Januari 2024 apabila para pedagang bertindak mengambil keuntungan.
Ditambah pula terdapat ketidakpastian di sekitar spot BTC ETF sejak dilancarkan susulan data prestasinya bercanggah dan kekurangan maklumat mengenai butiran lebih terperinci untuk pelaburan baharu tersebut.
Sungguhpun BTC boleh terdedah pada tekanan jualan profit-taking dalam jangka pendek, hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah dan pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) mampu menyebabkan risiko penurunan harganya terhad.
Menurut bitBank, BTC mampu didagangkan pada $40,000 dalam masa terdekat ini manakala penganalisis 10x Research bernama Markus Thielen menjangkakan harganya akan terjun sehingga $38,000.
Selain itu, Alex Kuptsikevich yang merupakan penganalisis FxPro berpandangan pembetulan harga pada $40,000 adalah had pembetulan biasa memandangkan prestasi BTC melebihi 150% berbanding tahun 2023.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 1.50% pada paras $42,588 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $834 bilion tetapi masih mencatatkan penyusutan 9.35% sepanjang minggu lepas.