Percaya atau tidak, ketika sektor kripto dihurungi minat kebanyakkan pelabur korporat dan institusi, boleh dikatakan hampir 5,000 token baru dilancarkan sejak setahun yang lalu.
Rekod ini boleh dipantau di CoinMarketCap. Setakat penulisan artikel ini:
- Jumlah keseluruhan token kripto telah melebihi 12,000.
- Pada September 2020, 7,100 token kripto telah direkod.
- Bermakna sekurang-kurangnya 4,900 token kripto dilancarkan sejak tahun lalu.
- Menandakan lebih 10 token baharu sehari.
Secara tidak langsung, ini merupakan lonjakan tahun ke tahun (YoY) terbesar sejak kewujudan Bitcoin (BTC). Tidak hairanlah jika industri ini mampu menyaksikan nilai pasaran mencecah lebih $2 trilion sekitar Mei lalu.
Umumnya, minat terhadap sektor kripto bermula dengan peningkatan harga Bitcoin dan penglibatan institusi sejak tahun lalu, lagi-lagi apabila pengasas Tesla Elon Musk dan CEO Twitter Jack Dorsey menunjukkan sokongan terhadap industri kripto.
Tidak cukup dengan itu, aset-aset ini memainkan peranan sebagai pelindung inflasi terutama ketika krisis ekonomi yang disebabkan pandemik COVID-19. Manakala ketika September 2020 di mana dunia menyaksikan keruntuhan pasaran saham, kebanyakan aset kripto masih kekal dengan nilainya.
Keistimewaan seperti ini akan merancakkan lagi perkembangan sektor kripto, mendorong penubuhan matawang kripto yang berterusan sebelum terlepas dengan trend permintaan dan keuntungan.
Namun, kelestarian ini juga pada masa yang sama turut mengundang mata-mata pihak berkuasa yang menentukan sama ada aset ini sebagai sesuatu yang selamat atau sebaliknya.
Misalnya pengerusi Gary Gensler acapkali menunjukkan skeptisismenya terhadap sektor ini melalui rancangan pengenalan perundangan yang lebih ketat bagi tujuan melindungi pelabur sebelum mereka menanggung kerugian.
Tidak dinafikan, pelaburan kripto sama seperti mana-mana pelaburan lain yang mana sentiasa terikat dengan risikonya. Jika tidak disebabkan skim ponzi, boleh jadi ia berpunca daripada penggodaman rangkaian.