Inflasi : Data Paling Penting Forex Trader Wajib Fahami!

3,061

Pada zaman serba canggih ini, forex trader dapat memperolehi maklumat tentang data-data ekonomi semasa hanya di hujung jari, contohnya di forexfactory.com. Namun, masih ramai yang tidak betul-betul memahami data-data yang direkodkan salah satu di antaranya adalah data inflasi.

Oleh itu, artikel ini akan menerangkan tentang inflasi untuk kefahaman para trader di luar sana.

Inflasi merupakan salah satu data terpenting dalam kalendar ekonomi kerana ia menjadi data tumpuan utama yang mempengaruhi keputusan polisi monetari yang dipraktikkan oleh bank-bank pusat di seluruh dunia.

Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi dan perkaitan dengan polisi monetari sesebuah bank pusat?

Inflasi ialah peningkatan harga barang dan perkhidmatan serta lambakan wang yang berlebihan dalam masa tertentu. Secara umumnya, inflasi akan meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Inflasi yang terlampau tinggi akan membahayakan ekonomi, justeru itu bank pusat sentiasa memberi fokus terhadap tahap inflasi semasa dengan memantau petunjuk pada data ekonomi khususnya bacaan indeks harga pengguna.

Dalam usaha untuk mengekalkan kadar inflasi di paras yang sesuai, bank pusat bermesyuarat untuk menetapkan kadar faedah semasa bagi mengimbangi pertumbuhan dan inflasi.

Apa yang bank pusat akan lakukan adalah dengan menerapkan polisi yang bersesuaian sama ada polisi pengetatan (contractionary) atau polisi pelonggaran (expansianory) bergantung pada tahap inflasi negara ketika itu.

Polisi pengetatan dilaksanakan dengan cara meningkatkan kadar faedah. Jika kadar faedah naik, maka lambakan wang dalam pasaran dapat dikurangkan. Pinjaman akan jadi lebih tinggi dan pengguna akan cenderung untuk menyimpan daripada berbelanja. Justeru itu, kadar inflasi dapat dikawal serta nilai matawang akan kembali meningkat.

Sebaliknya, jika negara tersebut berdepan dengan penurunan inflasi yang lebih rendah daripada sasaran, maka bank pusat akan menggunakan polisi pelonggaran bertujuan untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi.

Polisi ini bertindak dengan menurunkan kadar faedah. Pinjaman dimudahkan dan mendorong untuk pengguna berbelanja lalu menyebabkan kuasa beli pengguna semakin bertambah. Oleh yang demikian, kadar inflasi dalam negara tersebut akan kembali meningkat dan seterusnya mengakibatkan penurunan beransur-ansur pada nilai matawang.

Inflasi akan sentiasa berlaku dalam kitaran ekonomi di setiap negara. Apa yang lebih penting adalah bagaimana tindakan bank pusat untuk mengawalnya kerana ia turut mempengaruhi turun naik nilai matawang. Oleh itu, sangatlah penting untuk forex trader mendapat pemahaman yang jelas tentang inflasi.

Kesimpulannya, forex trader perlu cakna berkenaan inflasi sesebuah negara serta ambil tahu akan tindakan yang dilaksanakan oleh bank-bank pusat dalam menanganinya agar dapat memastikan strategi forex trading yang dirancang adalah efektif dan menguntungkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat